Sunday, April 29, 2012

Bersih 3.O: Duduk Bantah lawan Duduk Muntah?


Mengikut berita-berita dalam dan luar negara, demonstrasi Bersih 3.0 amat berjaya mengikut takrif sesetengah pihak. Huru-hara telah tercetus, polis telah dapat diprovokasi untuk bertindak menggunakan kekerasan, ramai rakyat Malaysia telah dihasut menjadi marah terhadap kerajaan, dan mungkin terpenting bagi pihak penganjur, banyak berita hangat dan tajuk utama media massa telah terpapar dalam dan luar negara, yang memberi banyak publisiti bagi Bersih 3.0. Banyak gambarr huru-hara atau kacau-bilau di Malaysia menghias ruang-ruang akhbar serata dunia, menunjuk orang-ramai 'bangkit' menentang kerajaan, yang juga satu angkubah pengaruh dan kekuasaan Bersih3.0. Kesemua ini diandaikan telah 'mendidik' dan ' menambah kesedaran' rakyat Malaysia akan perjuangan 'keadilan sosial' dan 'pembaruan' atas nama 'demokrasi rakyat'. Akan tetapi adakah ini benar atau bertetapan?

Pengerusi bersama Bersih 3.0, Ambiga Sreenevasan menolak tanggungjawab atas huru-hara yang telah tercetus dengan insiden 'tembakan pemedih mata' dan ' semburan air kimia'. Beliau menjelaskan kepada media massa Bersih 3.0 tidak menyokong perbuatan individu-individu memecahkan rintangan-rintangan di Dataran Merdeka. Mengikut beliau Bersih 3.0 cuma inginkan demonstrasi aman menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Mengikut beliau tindakan ganas itu dilakukan oleh ejen-ejen provokasi.Timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, S.Surenderan, juga menolak segala tanggunjawab atas huru-hara yang tercetus. Mengikut beliau demonstrasi berlangsung secara aman sehingga saat polis bertindak dengan kekerasan. Beliau mengatakan rakyat tak bersalah dan hanya berniat baik menuntut pembaruan pilihan raya
.
Saya rasa kenyataan-kenyataan kedua-dua Ambiga dan S.Surenderan adalah samada kurang ikhlas atau kurang matang. Apabila kita mengambil sebarang tindakan kita mesti mempertimbangkan implikasi, kesan dan segala kemungkinan dari tindakan kita. Huru-hara yang telah berlaku adalah berpunca dari Bersih 3.0 yang mereka rancang dan anjur. Cara dan suasana Bersih 3.0 dianjur dan dilaksanakan sememangnya mengundang kekacauan. Adalah agak kebudak-budakan apabila kedua cuma mengatakan 'niat baik' Bersih 3.0 sambil menafikan tanggungjawab atas 'akibat natural' (natural consequences) demonstrasi tersebut. Apabila pemerintah atau pentadbir menolak beberapa permintaan mereka berhubung demonstrasi Bersih 3.0,  pemerintah dan pentadbir telah  mempertimbangkan segala kemungkinan dan kesan yang akan berbangkit sekiranya permintaan Bersih 3.0 dipenuhi sepenuhnya..

Sebenarnya penganjur mesti mengambil kira bahawa sesuatu demonstrasi itu bukan terdiri dari cuma mereka-mereka yang ' berniat baik' mengadakan 'pembaruan' dan ' menuntuk pilihan raya bersih dan adil'. Hanya kebongkakan rasa berkuasa penganjur yang membutakan mereka terhadap kenyataan ini, dek terlalu ghairah menggembeling seramai orang dan sebanyak NGO keluar  ke jalan raya.

Jika pihak penganjur lebih ikhlas dan matang, mereka akan memahami demonstrasi selalunya melibatkan berbangai-bagai anasir dan kumpulan. Bukan semuanya yang berjenis 'niat baik menyokong' Duduk Bantah. Lazimnya dalam demonstrasi terdapat kumpulan-kumpulan yang sememangnya anasir-anasir yang berniat jahat mencetuskan huru-hara. Mereka turut serta bukan untuk Duduk Bantah tetapi Duduk Titah, yakni bertindak sebagai ejen-ejen yang taksub mengikut arahan-arahan dan kepentingan penganjur atau 'dalang' mereka.

Kita tak dapat mengandaikan ramai dari penunjuk perasaan digerakkan 'niat baik dan murni' seperti didakwa penganjur. Ramai yang cuma disitu ingin meluahkan rasa amarah dek dihasut oleh pihak penganjur dengan slogan-slogan 'cita-murni' perjuangan dan imej 'ideal' mereka. Oleh kerana dihasut mereka turut melibatkan diri dalam Duduk Bantah tanpa mendalami isu sebenarnya. Mereka ini lebih tepat kita katakan Duduk Entah dari Duduk Bantah. Mereka cuma ikut-ikut dek perasaan kurang puas hati atau kemarahan yang emosional dan tidak terarah. Saikologi mereka boleh disifatkan sebagai 'mob psychology' atau ' populis'. Juga sering diistilahkan sebagai ' crowd psychology' ('saikologi ramai).. Golongan sejenis inilah yang sering diperalatkan oleh demigog atau diktator seperti Hitler dalam sejarah buat merampas kuasa. 
.
Ada juga anasir-anasir lain lagi dari golongan Duduk Entah . Ada pemimpin penganjur yang kekuatannya terletak cuma pada kepandaian bercakap atau berucap berapi-api, yang tampak pandai dan 'berkarisma', tetapi yang sebenarnya tohor dari segi isi. Mereka jenis ini licik mempengaruhi anggota-anggota masyarakat yang mudah terpukau oleh 'gendang kosong' yang semakin lantang semakin kosong ini. Golongan 'gendang kosong' ini menganjur dan menyertai demonstrasi bukan untuk Duduk Bantah tetapi Duduk Latah, cuma sekadar meluahkan pekik lolong berunsur maki-hamun dan amukan. 

Sesunggohnya komposisi demonstrasi itu rumit atau komplek, bukan cuma terdiri dari yang 'berniat baik' mengikut slogan ' pembaruan pilihan raya' atau ' pilihan raya bersih dan adil'. Ada yang menjadikan demonstrasi seumpama Bersih 3.0 ini alat perebutan atau perampasan kuasa, tidak mengira apa jua laungan dan pengakuan mereka. Sifat mereka ini berpadanan dengan peribahasa Melayu ' ada udang sebalik batu' . Berhubungan dengan demonstrasi, mereka yang berjenis ini mengikuti demonstrasi bukan dengan niat Duduk Bantah tetapi secara tersirat berniat untuk Duduk Lintah.

Saya rasa ramai rakyat Malaysia yang tidak terpedaya untuk menyertai demonstrasi kerana pertimbangan mereka lebih mendalam, meninjau lebih dari 'niat suci' atau ' semangat pembaru' (reformer) yang cetek. Mereka ini memahami aspek-aspek pergerakan sosial atau demonstrasi lebih dari laungan-laungan dan pengakuan aktivis-aktivis yang taksub, justru sempit ufuk pemikiran . Bagi mereka yang bosan atau berasa  loya membaca berita-berita dalam dan luar negara mengenai 'kejayaan' Bersih 3.0 yang berat sebelah, akan tiba satu ketika mereka akan mengadakan demonstrasi mereka sendiri menentang kempen Bersih yang bersiri ini. Mungkin mereka kelak akan mengadakan kempen Bersin 1.0, 2.0 dan 3.0 pula. Apabila ini berlaku, mungkin Duduk Bantah akan berdepan dengan Duduk Muntah di Dataran Merdeka atau Stadium?

1 comment:

  1. Hi there to every one, it's truly a good for me to pay a visit this site, it includes helpful Information.

    My homepage how to file bankruptcy in florida

    ReplyDelete