Mengikut berita-berita
dalam dan luar negara, demonstrasi Bersih 3.0 amat berjaya
mengikut takrif sesetengah pihak. Huru-hara telah tercetus, polis telah
dapat diprovokasi untuk bertindak menggunakan kekerasan, ramai rakyat
Malaysia telah dihasut menjadi marah terhadap kerajaan, dan mungkin terpenting
bagi pihak penganjur, banyak berita hangat dan tajuk utama
media massa telah terpapar dalam dan luar negara, yang memberi
banyak publisiti bagi Bersih 3.0. Banyak gambarr huru-hara atau
kacau-bilau di Malaysia menghias ruang-ruang akhbar serata dunia,
menunjuk orang-ramai 'bangkit' menentang kerajaan, yang juga satu
angkubah pengaruh dan kekuasaan Bersih3.0. Kesemua ini diandaikan
telah 'mendidik' dan ' menambah kesedaran' rakyat Malaysia akan
perjuangan 'keadilan sosial' dan 'pembaruan' atas nama 'demokrasi
rakyat'. Akan tetapi adakah ini benar atau bertetapan?
Pengerusi bersama
Bersih 3.0, Ambiga Sreenevasan menolak tanggungjawab atas huru-hara
yang telah tercetus dengan insiden 'tembakan pemedih mata' dan '
semburan air kimia'. Beliau menjelaskan kepada media massa Bersih 3.0 tidak menyokong perbuatan individu-individu memecahkan
rintangan-rintangan di Dataran Merdeka. Mengikut beliau Bersih 3.0 cuma inginkan demonstrasi aman menuntut pilihan raya yang bersih dan
adil. Mengikut beliau tindakan ganas itu dilakukan oleh ejen-ejen
provokasi.Timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, S.Surenderan, juga
menolak segala tanggunjawab atas huru-hara yang tercetus. Mengikut
beliau demonstrasi berlangsung secara aman sehingga saat polis
bertindak dengan kekerasan. Beliau mengatakan rakyat tak bersalah dan
hanya berniat baik menuntut pembaruan pilihan raya
.
Saya rasa
kenyataan-kenyataan kedua-dua Ambiga dan S.Surenderan adalah samada
kurang ikhlas atau kurang matang. Apabila kita mengambil sebarang
tindakan kita mesti mempertimbangkan implikasi, kesan dan segala
kemungkinan dari tindakan kita. Huru-hara yang telah berlaku adalah
berpunca dari Bersih 3.0 yang mereka rancang dan anjur. Cara dan
suasana Bersih 3.0 dianjur dan dilaksanakan sememangnya mengundang
kekacauan. Adalah agak kebudak-budakan apabila kedua cuma mengatakan
'niat baik' Bersih 3.0 sambil menafikan tanggungjawab atas 'akibat
natural' (natural consequences) demonstrasi tersebut. Apabila
pemerintah atau pentadbir menolak beberapa permintaan mereka berhubung demonstrasi Bersih 3.0, pemerintah dan pentadbir telah mempertimbangkan segala kemungkinan dan kesan yang akan berbangkit sekiranya permintaan Bersih 3.0 dipenuhi sepenuhnya..
Sebenarnya penganjur
mesti mengambil kira bahawa sesuatu demonstrasi itu bukan
terdiri dari cuma mereka-mereka yang ' berniat baik' mengadakan
'pembaruan' dan ' menuntuk pilihan raya bersih dan adil'. Hanya
kebongkakan rasa berkuasa penganjur yang membutakan mereka terhadap
kenyataan ini, dek terlalu ghairah menggembeling seramai orang dan
sebanyak NGO keluar ke jalan raya.
Jika pihak penganjur
lebih ikhlas dan matang, mereka akan memahami demonstrasi selalunya
melibatkan berbangai-bagai anasir dan kumpulan. Bukan semuanya yang berjenis
'niat baik menyokong' Duduk Bantah. Lazimnya dalam demonstrasi terdapat
kumpulan-kumpulan yang sememangnya anasir-anasir yang berniat jahat
mencetuskan huru-hara. Mereka turut serta bukan untuk Duduk Bantah
tetapi Duduk Titah, yakni bertindak sebagai ejen-ejen yang taksub
mengikut arahan-arahan dan kepentingan penganjur atau 'dalang' mereka.
Kita tak dapat
mengandaikan ramai dari penunjuk perasaan digerakkan 'niat baik
dan murni' seperti didakwa penganjur. Ramai yang cuma disitu ingin
meluahkan rasa amarah dek dihasut oleh pihak penganjur dengan
slogan-slogan 'cita-murni' perjuangan dan imej 'ideal' mereka. Oleh
kerana dihasut mereka turut melibatkan diri dalam Duduk Bantah tanpa
mendalami isu sebenarnya. Mereka ini lebih tepat kita katakan Duduk Entah dari Duduk Bantah. Mereka cuma ikut-ikut dek perasaan
kurang puas hati atau kemarahan yang emosional dan tidak terarah.
Saikologi mereka boleh disifatkan sebagai 'mob psychology' atau '
populis'. Juga sering diistilahkan sebagai ' crowd psychology' ('saikologi ramai).. Golongan sejenis inilah yang sering diperalatkan
oleh demigog atau diktator seperti Hitler dalam sejarah buat merampas kuasa.
.
Ada juga anasir-anasir lain lagi dari golongan Duduk Entah . Ada pemimpin penganjur yang kekuatannya terletak cuma pada kepandaian bercakap atau berucap berapi-api, yang tampak pandai dan 'berkarisma', tetapi yang sebenarnya tohor dari segi isi.
Mereka jenis ini licik mempengaruhi anggota-anggota masyarakat yang
mudah terpukau oleh 'gendang kosong' yang semakin lantang semakin kosong ini. Golongan 'gendang kosong' ini menganjur dan menyertai demonstrasi bukan untuk Duduk Bantah tetapi Duduk Latah, cuma sekadar meluahkan pekik lolong berunsur maki-hamun dan amukan.
Sesunggohnya komposisi
demonstrasi itu rumit atau komplek, bukan cuma terdiri dari yang
'berniat baik' mengikut slogan ' pembaruan pilihan raya' atau '
pilihan raya bersih dan adil'. Ada yang menjadikan demonstrasi
seumpama Bersih 3.0 ini alat perebutan atau perampasan kuasa, tidak
mengira apa jua laungan dan pengakuan mereka. Sifat
mereka ini berpadanan dengan peribahasa Melayu ' ada udang sebalik batu'
. Berhubungan dengan demonstrasi, mereka yang berjenis ini mengikuti
demonstrasi bukan dengan niat Duduk Bantah tetapi secara tersirat berniat untuk Duduk Lintah.
Saya rasa ramai rakyat
Malaysia yang tidak terpedaya untuk menyertai demonstrasi kerana
pertimbangan mereka lebih mendalam, meninjau lebih dari 'niat suci'
atau ' semangat pembaru' (reformer) yang cetek. Mereka ini memahami aspek-aspek pergerakan sosial atau demonstrasi lebih dari
laungan-laungan dan pengakuan aktivis-aktivis yang taksub, justru sempit ufuk pemikiran . Bagi mereka yang bosan atau berasa loya membaca berita-berita dalam dan luar negara mengenai 'kejayaan'
Bersih 3.0 yang berat sebelah, akan tiba satu ketika mereka akan mengadakan demonstrasi
mereka sendiri menentang kempen Bersih yang bersiri ini. Mungkin
mereka kelak akan mengadakan kempen Bersin 1.0, 2.0 dan 3.0 pula. Apabila
ini berlaku, mungkin Duduk Bantah akan berdepan dengan Duduk Muntah di Dataran Merdeka atau Stadium?
