Thursday, January 5, 2012

KEMPEN 901: HUKUM HAKIM MAKI MAHKAMAH

Dua hari yang lepas, Pakatan mengadakan satu kenyataan media yang amat menyedehkan mereka yang cintakan demokrasi dan keluhuran undang undang negara kita. Kenyataan Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR, sebagai jurucakap kumpulan, dengan lantang dan cabul menolak prinsip kebebasan kehakiman , sambil mengugut dan mengancam mahkamah menjalankan tugas tugasnya ‘tanpa takut dan memihak’. Beliau mengugut akan menurunkan 100,000 penyokong Kempen ‘Bebaskan Anwar 901’ pada hari  Isnin ini, yakni hari mahkamah memutuskan kes Anwar Ibrahim.
Dalam video kenyataan media itu, Azmin Ali menegaskan butir butir berikut:
 Pertamanya perbicaraan kes liwat berkenaan didakwa ‘bermotif politik’ yang ‘berniat jahat’ untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Jelas ini merupakan satu kenyataan yang terlalu umum yang sendiri ‘bermotif politik’ yang mungkin ‘berniat jahat’. Saya kira dalam politik setiap pihak ada kepentingan melihat lawannya jatuh. Dalam pengertian yang seumum ini, setiap gerakan Pakatan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan juga boleh kita anggap ‘bermotif politik’ serta ‘berniat jahat’. Tapi kenyataan umum seumpama ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan ‘fakta’ dan ‘ hukum’ dalam kes.
Kedua, Azmin menuduh perbicaraan sebagai rencana kepimpinan UMNO menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. Bersabit ini semua orang yang berlaku adil dan bersikap terbuka tahu ini merupakan satu dakwaan yang kurang matang. Mereka tahu perjalanan undang undang atau ‘ due process of law’ itu ada prinsip prinsip, prosedur, dan kesatuannya tersendiri. Ianya bukan dapat diatur dengan sewenang wenang mengikut ‘rencana’ mana mana parti, baik UMNO atau Pakatan sekali pun. Justeru kenyataan  umum sedemikian itu yang sebenarnya ‘bermotif politik’ dengan niat  yang agak menyangsikan. Cuma sekadar menyauk dan memalit pihak pihak lain dengan kes untuk tujuan politik.
Ketiga, Azmin Ali memberi 'amaran keras'  sekiranya ada ‘konspirasi’ memenjara Anwar Ibrahim pada hari Isnin ini, mereka akan bangkit merobohkan tembuk kezaliman UMNO. Wow! Jelas sekali disini terdapat ‘motif politik’ dengan ‘niat jahat’. Mengikut pilihan dan susunan kata kata, sekiranya mahkamah mendapati Anwar bersalah, keputusan itu sudah sediakala dicap ‘konspirasi’ yang didalangi UMNO! 

Mengikut kenyataan, Kempen 901 akan menolak keputusan Anwar bersalah, dan menerima hanya keputusan Anwar tidak bersalah. Maknanya hakim sudah sediakala dituntun,digiring, diugut dan diberi ‘amaran keras’ kearah sesuatu keputusan yang dituntut.
Keempat, Azmin, mewakili Pakatan,  ‘melantik’ dan ‘ mengisytiharkan’ Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang ke 7. Ini agak janggal, memandangkan keadaan dan konteks kenyataan media. Adakah terserah kepada Pakatan untuk melantik perdana menteri dan bukan pengundi? Tambahan, apa kena mengena dengan pengadilan mahkamah kelak? Kenyataan ini dapat kita fahami hanya dengan membaca ‘motif politik’ dan ‘ niat’ yang mencurigakan.

 Mungkin PKR kini sedang cuba menerapkan prinsip prinsip shi'ah ke politik Malaysia, di mana kumpulan menentukan imamnya sendiri dan bermati matian mempertahankannya? Lebih lebih lagi memandangkan akhir akhir ini banyak gelaran yang telah dikurniakan kepada Anwar, termasuk 'imam besar silat gayung'  dan 'Imam Mahdi'? (yang amat berpengaruh dalam kepercayaan shi'ah)Secara ini  orang ramai dikondisi berfikir yang 'dizalimi' mahkamah kelak adalah 'perdana menteri ke 7', mengikut 'rencana UMNO' dan 'perdana menteri yang bertahan'. 
Pada keseluruhanya kenyataan Pakatan yang disampaikan Azmin Ali menerusi video yang tersebar luas itu tidak dapat menaikkan martabat dan perwajahan Pakatan dan Kempen 901. Niat politiknya amat menonjol dan mungkin mengaibkan. Kenyataan media ini bukan sahaja melanggar undang undang tetapi juga kesusilaan kita, sediakala menghukum hakim (sebelum hari keputusan lagi), menyeranah, mentohmah mahkamah , sambil mengugut menurunkan 100,000 penyokong buat mencabar prinsip keluhuran undang undang.
Dalam keseluruhan kenyataannya, Azmin Ali tepat hanya dalam satu hal, yakni keputusan mahkamah tidak hanya menyentuh ‘batang tubuh Anwar’ tetapi melibatkan orang ramai. Kami setuju walaupun kes ini melibatkan ‘batang tubuh’ Anwar, ia jauh lebih dari itu! 

 Dr Rani sebagai wakil Pas mengingatkan semua penyokong PAS, PKR dan DAP jangan membawa 'senjata tajam'. Mungkin 'senjata tumpul' boleh dibawa?   

No comments:

Post a Comment